Laman blog yang memaparkan isu semasa/pandangan/aktiviti terkini serta perbincangan berkaitan matapelajaran Matematik Tambahan yang mungkin akan mencetus perubahan di blog Titik Mula

Wednesday, 11 May 2011

Isu Semasa: Kemalangan Jalan Raya terus meningkat

Malaysia kerugian RM7.8 bilion bersamaan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya
termasuk kemalangan maut di negara ini pada 2008, menurut Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, antara punca utama kemalangan maut ialah sikap pemandu yang memandu dalam keadaan terburu-buru sehingga memakan jalan pemandu lain, berhenti secara mengejut, mengekor rapat dan melanggar lampu isyarat. Sementara penunggang motosikal pula menunggang dengan berlagak sebagai hero, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ahmad Farhan berkata, mengikut statistik Bukit Aman, dari Januari hingga November tahun lepas, sebanyak 5,753 kes kemalangan maut direkodkan yang membabitkan 2,464 motosikal, kereta (1,428), lori (559), kenderaan pacuan empat roda (4X4) 231, van (190), bas (121), teksi (74), lain-lain kenderaan (178), basikal (114) dan pejalan kaki (370).
Punca kemalangan maut yang dicatatkan pula antaranya akibat terbabas sendiri (1,587 kes), memakan jalan (856), cuba atau sedang menukar laluan (774), cuai ketika keluar dan masuk simpang jalan susur (585), mengekor rapat kenderaan hadapan (337), tidak nampak kenderaan atau objek serta binatang dihadapan (556), melawan aliran trafik (161), membuat pusingan U (220) dan tidak ikut lampu isyarat (106).
Selain itu sikap leka, suka berangan dan mengantuk (100), cuai ketika mengundurkan kenderaan (62), berlumba (21), berhenti mengejut (18), mabuk dan di bawah pengaruh dadah (10), dan lain-lain (340) juga menyebabkan kemalangan.
Berdasarkan statistik pada 2009, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding 6,527 orang pada 2008, di mana 60 peratus daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.
Beliau berkata selain sikap manusia, penyebab kemalangan maut atau mendatangkan kecederaan turut dipengaruhi pelbagai perkara lain antaranya faktor jalan, persekitaran dan kenderaan.
"Sikap manusia adalah penyebab utama kemalangan dan 60 peratus kematian di jalan raya adalah di kalangan penunggang mahupun pembonceng motosikal," katanya.
Beliau berkata dari kajian yang dilakukan ke atas punca kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal, kebanyakan mereka menunggang secara berbahaya, tidak memakai topi keledar atau tidak memakainya dengan betul.
"Menurut kajian terkini yang kita lakukan, remaja bawah 20 tahun yang terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal adalah tidak mempunyai lesen," katanya.
- Kuala Lumpur, 7 Januari 2011
 Dipetik dari Berita BERNAMA
 

Komen Editor Blog Titik Mula
"Kepada semua pengunjung blog Titik Mula, berhati-hatilah ketika berada di atas jalan raya. Malang itu tidak berbau. Maka kita tidak boleh sambil lewa dalam hidup. Ingatlah insan tersayang!

No comments:

Post a Comment






  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP